Raih ganjaran pahala melalui ibadah korban





Oleh : Srinarawie Bidzah / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 Mei. - Aidiladha adalah syiar agung ugama kita kerana ia merujuk kepada peristiwa besar dua beranak menunaikan perintah Allah, sekali pun perintah itu sangat berat untuk dilaksanakan.


Dua beranak tersebut ialah Nabi Ibrahim dan putera baginda Nabi Ismail Alaihissalam. Mereka diuji oleh Allah untuk Nabi Ibrahim menyembelih putera baginda, Nabi Ismail.


Demikian antara titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan bersempena dengan Hari Raya Aidiladha Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Istana Nurul Iman, hari ini.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah menekankan dalam Surah Ash-Shaaffaat, ayat 102, Nabi Ibrahim berkata kepada puteranya Nabi Ismail : “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?"


“Menjawab Ismail : “Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepada ayah, insyaAllah, ayah akan mendapati saya daripada orang-orang yang sabar.


“Demikian gambaran yang sangat mengharukan bagaimana patuhnya dua beranak ini menjunjung titah perintah Allah," titah baginda lagi.


Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah ini adalah pengajaran sepanjang zaman untuk kita umat Islam. Ia bukan untuk dibaca semata-mata, tetapi inti patinya adalah untuk diambil sebagai tauladan.


Di antara tauladan yang disuruh kita membuatnya titah baginda lagi, ialah dengan menyembelih binatang korban. Sama ada korban wajib atau korban sunat, semuanya itu adalah bukti ketaatan yang sangat bermakna. Allah tidak akan mensia-siakannya.


“Oleh itu, bagi siapa yang mampu, marilah kita sama-sama melakukan korban, untuk meraih ganjaran pahala di akhirat kelak.


“Saat yang penuh berkat ini, beta dengan ingatan tulus ikhlas turut mendoakan para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka berada dalam keadaan yang serba mengizinkan sehingga dapat menunaikan ibadat dengan lancar dan sempurna serta beroleh haji yang mabrur," titah baginda lagi.


Dalam mengakhiri titah, Kebawah DYMM dan kerabat diraja dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada, dengan iringan doa semoga kita semua berada dalam sihat afiat, riang gembira, murah rezeki, dapat menunaikan ibadat dengan khusyuk dan tawaduk untuk mendapatkan reda Allah dan keberkatan daripada-Nya.


Close